Thursday, December 15, 2011

TAZKIRAH JUMAAT


 
Assalamualaikum w.b.t. Salam Penghulu segala hari... Salam Jumaat. Hari ini admin ingin berkongsi satu tazkirah Jumaat yang bertajuk 7 cara bersahabat kerana Allah.
 
 7 Cara Bersahabat Kerana Allah

1.Memberitahu temannya bahawa dia kasih dan suka kepadanya
Nabi Muhammad S.A.W bersabda
'Jika seseorang kasih kepada seseorang makan hendaklah dia memberitahu temannya'
(HR Abu Daud)

2.Apabila berpisah dengan seseorang maka hendaklah dia mendoakan sahabatnya tanpa pengetahuannya
Nabi Muhammad S.A.W bersabda
'Setiap hamba muslim yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuannya pasti akan didoakan malaikat dengan berkata engkau juga akan mendapat seumpamanya'
(HR Muslim)

3.Sentiasa bermanis muka ketika berjumpa sahabatnya
Nabi Muhammad S.A.W bersabda
'Janganlah kamu meremehkan kebajikan sedikit pun , sekalipun   dengan berjumpa temanmu dalam keadaan wajah yang ceria'
(HR Muslim)

4.Segera bersalaman ketika bertemu dengan temannya
Nabi Muhammad S.A.W bersabda
'Setiap dua orang Islam yang berjumpa dan bersalaman pasti akan diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah'
(HR Abu Daud)

5.Amalan ziarah-menziarahi
Nabi Muhammad S.A.W bersabda
'Hendaklah kamu menziarahi sesekali nescaya akan menambas kasih sayang antara kamu'

6.Memberi Hadiah
Nabi Muhammad S.A.W bersabda
'Hendaklah kamu saling memberi hadiah nescaya kamu akan berkasih sayang'
(HR Thabrani)

7.Membantu sahabat-sahabatnya dalam kesusahan
Nabi Muhammad S.A.W bersabda
'Orang yang berjalan untuk menunaikan hajat sahabatnya lebih baik daripada orang yang beriktikaf selama 2 bulan'
(HR Hakim)



Sumber: Internet.

Wednesday, December 7, 2011

Persidangan UMNO 2011








Friday, November 25, 2011

Jiwa besar pemimpin UMNO benarkan perubahan dilakukan




Jiwa besar pemimpin dan perwakilan UMNO membolehkan perubahan dilakukan

Q: Memandangkan kemungkinan besar Perhimpunan Agung UMNO kali ini adalah yang terakhir sebelum kita menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13), apakah mesej yang hendak disampaikan kepada setiap ahli perwakilan, lebih-lebih lagi PRU kali ini boleh dianggap yang paling sengit bakal ditempuhi BN dan UMNO?

Hishammuddin: Kita perlu sampaikan mesej kepada setiap perwakilan bahawa UMNO mesti bersatu sekarang ini. Bersatu atau terus lenyap. UMNO adalah faktor penyatuan masyarakat Melayu di negara ini. Bukan sahaja penyatuan dari kalangan ahli UMNO, malah penyatuan kepada seluruh umat Melayu.

Q: Adakah Dato’ Seri menyatakan bahawa UMNO tidak bersatu?

Hishammuddin: UMNO bersatu; tetapi tahap kesatuan dan kesan kepada survival parti banyak bergantung kepada kedudukan parti pada masa tertentu. Kesatuan kali ini, berbanding dengan yang dahulu, bukan sahaja perlu disebut, malah dihayati sepenuhnya kerana lanskap politik hari ini memerlukan UMNO dilihat dan dirasai sebagai bersatu berbanding sebelum ini. Kita perlu perkukuhkan perpaduan di kalangan kita. Sebelum ini, perselisihan dalaman parti mampu kita bendung kerana UMNO ketika itu amat kuat.

Tetapi dalam masa yang begitu mencabar sekarang ini, sedikit konflik dalaman boleh mengancam parti serta menjejaskan peluang UMNO untuk memenangi PRU13. Maka sebab itulah UMNO tiada pilihan selain perlu serta merta tangani budaya perselisihan ini dan berdiri teguh dalam sebuah parti yang benar-benar kukuh.


Q: Adakah Dato’ Seri berpendapat bahawa seluruh ahli UMNO telah bersedia menerima cabaran untuk melakukan perubahan dalaman ini?

Hishammuddin: Sebenarnya kita tidak ada pilihan. UMNO telah melalui pelbagai ujian sebelum ini; daripada tunduk menyerah, sejarah telah menunjukkan bahawa kita mampu keluar dari ujian yg mencabar ini dan menjadi lebih kuat. Tapi kali ini ia bukan sekadar memerlukan lebih daripada kekuatan kerana cabaran ini tidak hanya unik kepada Malaysia, tetapi sedang melanda seluruh dunia dalam pelbagai aspek.

Disebabkan itu Perdana Menteri telah melaksanakan transformasi dalam kerajaan, ekonomi dan politik. UMNO telah mengharungi pelbagai dugaan dan mampu bertahan sehingga kini. Saya yakin ahli UMNO amat matang dan sedar bahawa perubahan serta pengorbanan mesti dilaksanakan serta merta. Namun kadang kala kita terpaksa mendesak untuk melakukan perubahan dan pengorbanan yang wajar sebelum terlambat.

Q: Apakah yang dimaksudkan dengan perubahan?

Hishammuddin: Berubah bukan semata-mata untuk perubahan, tetapi perlu berubah agar parti kita diterima oleh rakyat. Misalnya dlm PRU13, politik adalah game of numbers atau permainan tentang angka. Disebabkan itu kita perlu meletakkan 'winnable candidates' atau calon yang boleh menang. Dari segi parti, perubahan telah dilakukan lebih awal oleh Presiden parti melalui pindaan perlembagaan dan perubahan-perubahan dalam parti. Kalau dulu kuasa undi hanya di tangan 2,800 orang perwakilan, hari ini jumlah yang boleh mengundi adalah lebih 140,000 ahli. Bukan mudah utk melepaskan kuasa yang ada, tetapi jiwa besar pemimpin dan perwakilan UMNO telah membolehkan ia dilakukan.

Ini menunjukkan bahawa UMNO bukan saja boleh menerima perubahan, tetapi mampu untuk terus melaksanakannya. Perubahan dalam erti kata meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri. Seperti yang pernah disebut YAB Presiden parti, UMNO perlu meletakkan calon yang mampu menang. Ini bermakna akan terdapat muka-muka baru yang bakal diletakkan sebagai calon PRU13 nanti. Calon-calon baru ini amat memerlukan sokongan padu setiap ahli, khususnya daripada kalangan mereka yang telah digugurkan. Mereka ini wajar menunjukkan semangat untuk terus membantu parti walaupun tidak dicalonkan semula. Sebagai ahli UMNO yang setia kepada parti, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada parti kerana dengan berbuat demikian kita akan turut membantu memperjuangkan hak dan kepentingan orang-orang Melayu.

Q:Mengapa amat penting untuk UMNO lakukan perubahan?

Hishammuddin: Geopolitik dunia telahpun berubah. Parti politik di mana saja di dunia pada hari ini dilihat perlu mendapat sokongan daripada kumpulan bukan tradisi. Kita tidak boleh lagi bergantung kepada sokongan tradisi, tetapi kepada golongan muda dan mereka yg berada di atas pagar. Dalam era politik baru, mendampingi rakyat, reaching out dan engage mereka adalah sangat penting.


Q: Apakah yang boleh UMNO tawarkan?

Hishammuddin: UMNO mesti menonjol sebagai sebuah parti yang mampu memenangi hati rakyat dan disenangi majoriti rakyat. UMNO mesti memberikan harapan baru kepada rakyat, khususnya masyarakat Melayu. Kita kini mempunyai pucuk pimpinan baru dengan sebuah pasukan yang baru. Perlu diingatkan PRU13 adalah pilihanraya yang pertama dipimpin oleh YAB Dato’ Seri Najib. Beliau banyak mendengar dan amat memahami nadi rakyat. Banyak perubahan telah dilakukan mengikut kehendak rakyat.


Q: Apakah harapan Dato’ Seri terhadap perhimpunan kali ini?

Hishammuddin: Harapan saya adalah agar perwakilan sedar bahawa survival parti berada di dalam tangan mereka. Mereka wajar memberikan sokongan padu kepada kepimpinan YAB Presiden dalam menentukan arah tuju perjuangan parti yg telah sama-sama mereka persetujui, lebih-lebih lagi dalam keadaan kita perlu berhadapan dengan PRU13.

UMNO perlu terus menunjukkan kepimpinan dlm lanskap politik baru ini, bukan saja agar UMNO kekal relevan tetapi juga Barisan Nasional. Semua ini kita lakukan bukan hanya untuk kita sahaja, tetapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia.

Sumber : www.tunfaisal.blogspot.com

Wednesday, November 23, 2011

BN janji selesai masalah air di Kelantan

TANAH MERAH 23 Nov. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjanji masalah air yang melanda Kelantan akan diselesaikan segera sekiranya rakyat negeri ini memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk memerintah pada pilihan raya umum akan datang.
Muhyiddin berkata, nasib rakyat Kelantan hanya akan terbela jika mereka menyokong BN memandangkan kerajaan Pas Kelantan sudah terbukti gagal menjaga kebajikan rakyat meskipun telah memerintah selama 21 tahun di negeri ini.

Beliau berkata, bekalan air bersih yang diterima sebahagian rakyat Kelantan hari ini pun merupakan ihsan dan usaha yang dilakukan BN ketika memerintah Kelantan suatu ketika dulu.
"BN memberi jaminan masalah air ini akan diselesaikan segera. Kita jamin masalah rakyat adalah keutamaan dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
"Pas tidak dapat memberikan apa-apa walaupun ini adalah perkara asas tetapi mereka gagal sampaikan anak-anak kita yang sedang membesar terpaksa menggunakan air kotor," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Rakyat Parlimen Tanah Merah di Sekolah Kebangsaan Gual Ipoh di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan bantuan sebanyak RM1.4 juta untuk menyiapkan masjid di Kampung Belimbing.

Terdahulu ketika berucap, Ikmal turut memohon peruntukkan sebanyak RM4 juta daripada Kerajaan Pusat untuk untuk projek-projek kecil di daerah ini termasuk bekalan air bersih dan baik pulih masjid yang dapat memberi keselesaan kepada lebih 100,000 rakyat Tanah Merah.

Jelas beliau, rakyat Tanah Merah telah berjanji akan memberi sokongan padu kepada BN kerana kesedaran yang timbul bahawa nasib mereka hanya boleh dibela oleh kepimpinan BN.
"Banyak masjid dan surau di Tanah Merah yang teruk dan daif yang memerlukan perhatian kepemimpinan Pas tetapi langsung tidak diendahkan," ujarnya.

Sumber daripada: Utusan online 24/11/2011

Malaysia 0 Syria 2

Saya rasa tidak terlewat untuk mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Malaysia atas kemenangan merangkul pingat emas di Sukan SEA, Indonesia. Walaupuan kita kecundang di dalam kelayakan Olimpik, namun saya sangat bangga atas semangat juang pasukan Harimau Malaya.Tahniah Harimau Malaya dan teruskan kecemerlangan!

KUALA LUMPUR - Tetap boleh dipuji! Walaupun tewas 0-2 kepada Syria dalam perlawanan kedua pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik semalam, skuad bimbingan Ong Kim Swee berjaya mempamerkan satu permainan baik di hadapan 20,000 penonton walaupun beraksi dalam keletihan selepas pulang membawa balik pingat emas dari Jakarta, dua hari yang lalu.

Jika tidak kerana masalah kecederaan pemain dan aksi Sukan SEA Indonesia, Malaysia mungkin dapat menghadirkan saingan lebih bermakna kepada pasukan pelawat yang dilihat hanya bergantung kepada kekuatan fizikal semata-mata sepanjang perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Kekalahan itu juga bermakna peluang Malaysia untuk mengisi slot dua pasukan terbaik semakin sukar kerana Syria dan Jepun semakin kukuh di tangga teratas Kumpulan C Kelayakan Olimpik zon Asia dengan enam mata sementara Malaysia dan Bahrain masih gagal mendapat sebarang mata.

Pada satu lagi perlawanan Selasa lalu, Jepun menewaskan Bahrain 2-0.

Malaysia dijadual menentang Bahrain pada Ahad ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan mereka perlu menang dalam perlawanan berkenaan jika berhasrat menghidupkan peluang sekurang-kurangnya mengisi slot playoff iaitu dengan menduduki tangga kedua kumpulan.

Gol Syria dijaringkan oleh Solaiman Solaiman yang tidak dikawal pada minit ke-50 selepas menanduk masuk hantaran lintang dari sebelah kanan.

Ketika kepenatan semakin menghantui pemain negara, Mohd. Muslim Ahmad melakukan kesilapan apabila memberikan bola kepada pemain lawan.

Syria mengambil kesempatan atas situasi berkenaan apabila melancarkan serangan balas dan Nassouh Nakkdahli mudah melakukan sepakan dalam kotak penalti tanpa dicabar mana-mana pemain untuk menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-88 untuk gol kedua pelawat.

Pada perlawanan semalam, Kim Swee hanya menurunkan dua muka baru iaitu Mohd. Amer Saidin yang diletakkan selaku pemain simpanan semasa Sukan SEA Indonesia sementara Wan Zack Haikal Wan Nor juga berada dalam kesebelasan utama selepas pulih daripada kecederaan.

Ahmad Fakri Saarani yang kurang menonjol pada perlawanan akhir Isnin lalu masih mendapat kepercayaan bergandingan dengan A. Thamil Arasu di barisan hadapan ekoran ketiadaan beberapa pemain utama seperti Syahrul Azwari dan Mohd. Izzaq Faris Ramlan.

Malaysia lebih banyak menguasai perlawanan pada babak permulaan perlawanan dengan Syria hanya mempunyai dua peluang pada separuh masa pertama, namun mudah diselamatkan oleh Khairul Fahmi yang mempamerkan persembahan hebat sepanjang perlawanan terutama dalam babak kedua.

Peluang terbaik Malaysia diperoleh Fakri Saarani pada minit ke-29 tetapi dihampakan dengan tindakan penyudah yang lemah dan bola mudah diselamatkan oleh penjaga gol, Ibrahim Alma.

Namun, ketika penonton menyangka situasi yang sama pada separuh masa kedua, ia terjadi sebaliknya apabila majoriti pemain mula keletihan sebaik permulaan perlawanan dan hilang fokus yang menjadi punca kepada kedua-dua gol Syria.

Sumber : Utusan Malaysia On-line